Jumat, 09 September 2011

Istikharah Cinta


Mangsa “Istikharah Cinta”

Bismillahirrahmaanirrahiim.
“Salam.Saya seorang wanita yang dulunya telah bertunang namun pertunangan tersebut telah diputuskan oleh bekas tunang saya.Pernikahan kami tidak sampai 3 hari lagi namun dia memutuskan pertunangan kami dan membatalkan pernikahan yang bakal diadakan secara tiba-tiba atas alasan dia telah melakukan istikharah dan bermimpikan wanita lain serta dia menyakini bahawa mimpi tersebut petunjuk dari Allah dan katanya wanita tesebut adalah calon isteri yang telah ditetapkan oleh Allah.Adakah benar apa yang dikatakan bekas tunang saya itu dan saya bukanlah calon isteri yang telah ditetapkan bersandarkan istikharah tersebut?” – Rosnani
“Assalamualaikum.Saya dan teman wanita saya telah merancang untuk bernikah pada awal tahun hadapan namun baru-baru ni teman wanita saya meminta kami memutuskan perhubungan.Teman wanita saya menyatakan bahawa saya bukanlah lelaki di dalam mimpi istikharahnya dan kemungkinan sahabat lama saya adalah lelaki di dalam mimpinya.Akhirnya saya berbalah dengan sahabat lama saya akibat dari kata-kata teman wanita saya.Adakah benar mimpi istikharah tersebut adalah petunjuk dari Allah?Adakah benar sahabat lama saya adalah lelaki yang telah ditetapkan oleh Allah untuk teman wanita saya?” – Syazwan Buntu
“Salam.Saya mempunyai teman lelaki dan saya telah memutuskan hubungan tersebut dan membina hubungan teman lelaki lain walaupun pada awalnya saya dan teman lelaki saya yang awalnya telah bercadang untuk bernikah,keputusan tersebut saya ambil atas tafsiran saya selepas saya beristikharah.Selepas mempunyai kekasih baru saya menceritakan kesemua kesilapan saya dan kekasih lama kepada teman lelaki yang baru.Saya akan bernikah dengan teman lelaki yang baru dan saya baru sedar bahawe teman lelaki yang baru dan teman lelaki yang lama saling mengenali.Benarkan tindakan saya ni?” – Nur
Antara 3 email yang saya masih simpan dimana ketika itu blog saya bergelar fariszaz.com dan kini bergelar IsmiAzraf.Com
Berkerut dahi saya dan termenung sebentar memikirkan gejala “Istikharah Cinta” dimana ia bukan saja memangsakan golongan biasa malah ia juga pernah memangsakan golongan yang turut mempelajari agama. Kerana terfikirkan mimpi selepas istikharah adalah petunjuk maka diri menjadi mangsa “Istikharah Cinta”.
Apa itu Solat Istikharah?
Solat Istikharah adalah solat untuk meminta bantuan Allah S.W.T dalam memilih keputusan dalam beberapa perkara yang diharuskan oleh Syara’.
Pelaksanaan Solat Istikharah adalah bersandarkan beberapa dalil yang sahih.
“Hadith yang dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Sahihnya dengan sanadnya daripada Jabir radhiyallaahu ‘anhuma, beliau berkata :
Daripada Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam Baginda bersabda :
Apabila sesiapa daripada kalangan kamu diberatkan oleh sesuatu maka hendaklah dia Rukuk dengan dua Rukuk (mengerjakan Solat dua rakaat) yang selain daripada Solat yang Fardhu (yakni mengerjakan Solat dua Rakaat dengan niat Istikharah).
Kemudian hendaklah dia berdoa : Ya Allah, aku beristikharahkan Engkau dengan ilmu-Mu dan aku juga memohon ketetapan dengan ketetapan yang bersandarkan kurniaan-Mu yang Maha Agung. Engkaulah yang Maha Menetapkan sedangkan aku tidak mampu untuk menetapkan. Engkau Maha Mengetahui dan aku pula tidak mengetahui. Engkaulah yang Maha Mengetahui akan perkara-perkara yang tersembunyi. Ya Allah, jika pada ilmu-Mu sesungguhnya urusan ini – harus disebut hajat tersebut atau cukup sekadar meniatkannya kerana Allah Maha Mengetahui akan hajat itu – adalah baik untukku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan datang), maka tetapkanlah ia untukku dan mudahkanlah ia bagiku. Kemudian berkatilah bagiku di dalam pilihan ini. Dan andaikata pada ilmu-Mu sesungguhnya hal ini adalah buruk bagiku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan akan datang), maka hindarkanlah ia daripadaku dan hindarkanlah aku daripadanya. Tetapkanlah bagiku kebaikan dan jadikanlah aku redha dengannya.
(HR. al Bukhari : No. 1162 , Status : Sahih)
Amal Tanpa Ilmu
Saya bukanlah menolak pelaksanaan melakukan istikharah dalam meminta bantuan Allah untuk memilih suatu keputusan tetapi mahukan kita memahami ilmu dan kefahaman dalam melaksanakan istikharah kerana pelaksanaan tanpa kefahaman yang jelas akan menjadikan kita mangsa dalam tipudaya syaitan.
Kesahihan kewujudan suatu amal bukanlah lesen yang menjamin cara pelaksanaan yang kita lakukan adalah benar kerana perlunya ilmu dan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan suatu amal untuk memastikan pelaksanaan yang dilakukan benar-benar mengikut tuntutan Islam.
Kebanyakan masyarakat kita melakukan istikharah apabila ingin memilih pasangan , ada pula sibuk mencari dan memilih yang terbaik namun lupa menjadi yang terbaik dan ada juga yang tidak menjaga solat fardhu namun terhegeh-hegeh melakukan solat istikharah , malah ada juga bersangka kesemua jawapan yang dilihatnya kononnya petunjuk jawapan sebenar atas istikharahnya sedangkan sangkaan dan mimpi ke atas manusia mampu Allah jadikan sebagai ujian ke atas manusia dengan sang iblis melakukan tipudaya atas mimpi dan sangkaan manusia sehingga mengakibatkan putusnya silaturrahim dan berdendamnya sesama anak cucu adam.
Dek kerana kejahilan dan kesalahan dalam memahami dan pelaksanaan maka sangkaan yang wujud dari tipudaya syaitan mungkin disangkakan petunjuk :
فَرِيقًا هَدَى وَفَرِيقًا حَقَّ عَلَيْهِمُ الضَّلالَةُ إِنَّهُمُ اتَّخَذُوا الشَّيَاطِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ اللَّهِ وَيَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ مُهْتَدُونَ
Sebahagian (dari umat manusia) diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan diberi taufiq untuk beriman dan beramal soleh); dan sebahagian lagi (yang ingkar) berhaklah mereka ditimpa kesesatan (dengan pilihan mereka sendiri), kerana Sesungguhnya mereka telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin (yang ditaati) selain Allah. serta mereka pula menyangka, bahawa mereka berada dalam petunjuk hidayah. (Surah Al-Aa’raaf 7 : Ayat 30)
Ini mengingatkan saya pada pandangan Sheikh Saleem bin Eid al-Hilali di dalam kitab Bahjah al-Nadzireen syarah kepada Riyadh al-Sholiheen :
“Ada sesetengah orang berpendapat, “sesudah mengerjakan solat serta Doa Istikharah, akan muncullah nanti petunjuk dalam mimpinya, maka dia akan memilih sebagaimana yang ditunjukkan oleh mimpinya itu” Justeru ada sesetengah orang berwudhu’ dan kemudian melakukan Solat serta Doa Istikharah dan terus tidur (dengan meletakkan harapan  petunjuk datang melalui mimpi), malah ada juga mereka yang sengaja memakai pakaian berwarna putih kerana mengharapkan mimpi yang baik. Semua ini hakikatnya adalah prasangka manusia yang tidak berasas”
Gandingan Syariatullah dan Sunnatullah
Syariatullah : Istikharah
Sunnatullah : Istisyarah
Istikharah mempunyai gandingannya iaitu Istisyarah , ia adalah nilai tambah dalam memudahkan setiap seseorang dalam memilih sesuatu keputusan.
Istisyarah adalah meminta pandangan atau pendapat sesuatu pihak yang mahir dalam perkara yang ditanya tersebut dan boleh dipercayai untuk membantu seseorang dalam membuat sesuatu keputusan.
Terdapat khilaf Ulama dalam membincangkan dan memberi pendapat berkaitan yang mana perlu didahulukan samaada Istikharah atau istisyarah.Saya tidak mahu membincangkan khilaf tersebut kerana Istikharah dan Istisyarah ia saling bergandingan dan perlu dilaksanakan secara berhemah.
Apabila seseorang menginginkan bantuan keputusan dari Allah untuk seseorang itu memilih jawapan maka ia perlu laksanakan Istikharah dan apabila ia berkait dengan kepakaran yang wujud pada manusia maka diharuskan pula melakukan Istisyarah. Sebagai contoh seseorang mahasiswa ingin membuat pemilihan antara MARA atau PTPTN dan telah melakukan Solat Istikharah maka ia harus meminta pandangan pengawai pinjaman kewangan pendidikan dan pihak yang menguruskan pengajian dalam memastikan ia mendapat info yang tepat untuk membantu mahasiswa tersebut memilih jenis pinjaman kewangan dalam meneruskan pendidikan.
Islam bukan saja meletakkan DOA dan TAWAKAL semata-mata tetap menuntut ummahnya untuk DOA , USAHA , IKTIHAR , TAWAKAL. Maka mimpi yang dialami selepas melaksanakan Solat Istikharah bukanlah jaminan ia adalah jawapan yang tepat tetapi perlunya usaha dalam mencari jawapan dan bukannya sekadar menunggu jawapan melalui mimpi.
Beristikharah adalah meminta bantuan dan redha Allah dan Beristisyarah pula meminta pandangan seseorang yang layak, maka berlapang dada dan bersikap positiflah atas keputusan yang diambil dan kesan setelah keputusan yang diambil kerana seandai ia ujian maka anggaplah ia ujian dari Allah untuk mematangkan diri. Ambillah keputusan selagi mana ia tidak mendatangkan dendam permusuhan atau perkara yang memudaratkan.
Kesimpulan
  • Jauhkan diri dari beramal atas apa yang sekadar didengar dan bukan atas kefahaman.
  • Perbaiki amal dengan menuntut ilmu dan kefahaman atas sesuatu amal.
  • Jauhi Bi’daah , Khurafat dan Syirik.
  • Jauhkan diri dari menunggu mimpi atau petanda isyarat kerana ia terbuka atas putar belit syaitan.
  • Jauhi dari bersikap was-was kerana was-was adalah mainan syaitan.
  • Yakin atas keputusan yang dibuat selagi mana tidak bercanggah dengan Islam.
  • Buat keputusan selagi mana ia tidak mencetuskan dendam permusuhan atau memudaratkan atau tidak bercanggah dengan Islam.
  • Istikharah boleh dibuat beberapa kali dan lakukan ia dengan ikhlas.
  • Lakukan Solat Istikharah untuk membuat suatu pemilihan dalam perkara yang mempunyai keraguan dan ia penting.Bukan perkara yang remeh seperti memilih gula-gula untuk dibeli dikedai.
  • Lakukan Solat Istikharah mengikut cara yang telah ditetapkan oleh Syara’ dan lakukan juga Istisyarah dalam menambahbaik diri dalam membuat sesuatu keputusan.
  • Petunjuk Allah adalah pada hati manusia dan tetapkan hati dalam keadaan bersih dan bersihkanlagi hati untuk memudahkan hati mendapat petunjuk dari Allah.
  • Ambil tip D.U.I.T iaitu Doa,Usaha,Iktihar,Tawakal dalam membuat keputusan dan bukannya sekadar berdoa dan tawakal semata-mata.
  • Istikharah terbuka dalam membuat sebarang keputusan dalam berbagai perkara dan urusan kehidupan yang dibenarkan Syara’ , ia bukanlah hanya terlapit dalam ruang lingkup sekadar untuk memilih pasangan hidup.
  • Ambil keputusan bukan sekadar pada kesan yang disangkakan selepas Solat Istikharah namun buat pertimbangan yang wajar.
  • Setiap keputusan membawa berbagai kesan dan hukum maka jika ia membawa kesan yang memudaratkan maka perbaiki kesilapan dalam membuat keputusan.
  • Rujuk kitab-kitab Fiqh dan golongan agamawan Islam sebagai rujukan dalam melakukan sebarang amal (bukan sekadar berkaitan Solat Istikharah saja).
Saya mengambil tajuk catatan kali ini sebagai Mangsa “Istikharah Cinta” adalah kerana memaksudkan “Istikharah Cinta” sebagai suatu pemikiran silap sebahagian masyarakat yang mengambil Istikharah pada urusan jodoh semata-mata atau ia sekadar mengfokuskan Istikharah pada suatu perkara saja sedangkan Istikharah terbuka dalam berbagai ruang lingkup dalam membuat keputusan perkara yang dibenarkan oleh Syara’.
Namun adakalanya kesilapan pelaksananaan Istikharah bukan saja wujud pada urusan jodoh malah “memangsakan” seseorang yang melaksanakan Istikharah tetapi kurang fahami pelaksanaan Istikharah itu sendiri.
Wallahua’lam.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar